BANDUNG, 10 Mac 2019 - Seramai 26 orang sukarelawan terdiri daripada kakitangan pentadbiran UiTM Cawangan Melaka (UiTMCM) dan rakan strategik dari IBZURA World Travel Tours telah menyertai program khidmat masyarakat di Kampung Cimariuk dan Pondok Pesantren Al-Mu'awanah di daerah Majalaya Bandung, Indonesia.

Program ini dianjurkan bagi membantu meringankan beban masyarakat miskin di perkampungan tersebut selain memupuk semangat kepimpinan, kesukarelawanan dan saling bantu membantu dikalangan warga UiTMCM. Sebanyak 70 keluarga telah mendapat sumbangan berbentuk keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, garam, biskut, susu. Sukarelawan juga memberi sumbangan alat tulis kepada kanak-kanak di perkampungan tersebut.

Selain daripada itu, sumbangan keperluan harian turut diberikan kepada para pelajar dan warga kerja di Pondok Pasantren Al-Mu'awanah. Menurut Ketua Projek, Mohd Ismail Abidin, jumlah sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak untuk program sumbangan keperluan harian adalah sebanyak kira-kira RM15,000.00. “Para sukarelawan juga sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk bersama-sama menjayakan misi kemasyarakatan ini.” kata beliau.

Sementara itu, Pn. Rozaimah Mat Sidek, Timbalan Ketua Pustakawan berkata, program kemasyarakatan ini dilaksanakan bersempena dengan Program Perkongsian Pengetahuan diantara Perpustakaan UiTMCM dengan Perpustakaan Institut Teknologi Bandung yang diadakan pada 8 Mac 2019 yang lalu.

Program kemasyarakatan ini telah mendapat kerjasama dengan rakan strategik UiTM Cawangan Melaka iaitu IBZURA World Travel and Tours dan HERZ Global Marketing yang merupakan penyumbang utama dalam misi kemasyarakatan peringkat antarabangsa pada tahun 2019.

Ruzaimah turut bersyukur program ini mendapat kerjasama erat daripada pihak industri yang mana ianya penting bagi menjalankan agenda universiti dalam misi CSR ini.