LATARBELAKANG

Penubuhan UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya adalah agenda nasional dengan usahasama Ketua Menteri Melaka dan Naib Canselor UiTM hasil daripada saranan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Malaysia untuk mencapai enrolmen seramai 200,000 orang pelajar bumiputera di UiTM menjelang tahun 2010. Kini, enrolmen UiTM telah memperolehi seramai 157,000 orang pelajar pada tahun 2010 dan mensasarkan seramai 250,000 menjelang tahun 2015.


UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya telah dirasmikan pada 26 Mac 2007 oleh Y.A.B. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj Mohd Ali bin Mohd Rustam. Kampus ini yang terletak di Jalan Hang Tuah, Melaka telah mula beroperasi dengan persediaan pengurusan pada 15 Disember 2006 dan diterajui oleh 11 orang staf pentadbiran. Manakala aktiviti akademik telah bermula pada 3 Januari 2007. Sehingga Jun 2011, UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya kini mempunyai bilangan staf bukan akademik seramai 101 orang dan staf akademik seramai 120 orang.


Pengurusan UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya adalah di bawah pengurusan Rektor UiTM Melaka, iaitu Prof. Madya Sabariah Hj Mahat dan dibantu oleh Penolong Rektor Kampus Bandaraya Melaka iaitu Dr. Fahmi Abdul Rahim. Kampus Bandaraya Melaka meliputi bangunan 16 tingkat dan dilengkapi dengan bilik-bilik kuliah, makmal-makmal komputer, pejabat-pejabat Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik, Hal Ehwal Pelajar, Bendahari, Pejabat Polis Bantuan, dan Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, serta pusat sumber, bilik mesyuarat, auditorium, surau, kafeteria dan pusat pelajar.


Bagi penginapan para pelajar, UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya telah menyedia kemudahan dua kolej kediaman iaitu kolej kediaman Tun Mamat dan kolej kediaman Tun Mutahir. Kolej kediaman pelajar siswa bertempat di Kolej Tun Mamat dan boleh memuatkan seramai 200 orang pelajar manakala kolej kediaman siswi di Kolej Tun Mutahir yang boleh menampung seramai 500 orang pelajar. Kedua-dua kolej tersebut bertempat di Kg. Morten dan mengambil masa 10 minit berjalan kaki ke UiTM Kampus Bandaraya Melaka.


Kumpulan pertama pelajar UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya merupakan pengambilan bagi Semester Disember 2007 – April 2007 dengan jumlah pelajar seramai 706 orang pelajar sepenuh masa dan 264 orang pelajar separuh masa. Kini Semester September 2017 - Januari 2018 UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya mempunyai jumlah hampir 2091 orang pelajar sepenuh masa dan separuh masa.

 


CARTA ORGANISASI