Home
Jihad Penuhi Tanggungjawab Kepada Allah PDF Print E-mail

Jika kita mengimbau sejarah peperangan dunia pertama pada tahun 1917 dan peperangan dunia kedua pada tahun 1941, beberapa penganalisis perang meramalkan bahawa perang dunia ketiga akan bermula di Timur Tengah. Ramalan ini diasaskan kerana rantau Timur Tengah adalah kawasan yang paling tegang di dunia ketika ini disebabkan wujudnya kumpulan jihad yang tidak pernah berputus asa menentang penubuhan negara haram Israel.

Peperangan yang berlaku di dunia ini bukanlah perkara yang disukai oleh manusia, malah ia adalah perbuatan terkutuk. Peperangan dianggap perbuatan terkutuk kerana ia membunuh ramai manusia yang tidak berdosa dan merosakkan dunia. Selain itu, peperangan juga menjadi alat di kalangan penjajajah, pengkhianat, imperialis dan pengganas untuk merebut negara orang serta merampas kekayaan sesuatu bangsa.

Bagaimana pun, adakalanya peperangan itu adalah perbuatan terpuji iaitu jihad fi sabilillah, peperangan di jalan Allah atau perang suci Islam.  Perang jihad dianggap terpuji apabila dilakukan untuk melenyapkan pengkhianat, menentang penjajah, mengusir imperialis dan mempertahankan kebebasan beragama. Dengan demikian perang fi sabilillah adalah satu-satunya bentuk peperangan yang dibenarkan dalam Islam. Namun persoalan besar timbul ialah mengapa jihad dalam Islam mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT?.

Dengan berjihad, maka maruah Islam terpelihara, umatnya terbela dan terjamin mulia. Skop jihad itu sangat luas. Ia bukan sahaja berperang melawan musuh yang ingin menjajah kedaulatan sesebuah negara tetapi berusaha membebaskan negara dan rakyat dari kesengsaraan penjajahan. Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Haj ayat 39-40:

Yang Bermaksud: " Diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, sebab mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka. Iaitu mereka yang diusir dari kampung dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja, dan tempat-tempat sembahyang kaum Yahudi, dan juga masjid-masjid yang disebut banyak nama Allah padanya; dan bahawa Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."


Berdasarkan ayat ini Allah berjanji menolong mereka yang berperang fi sabilillah  untuk mempertahankan diri dari pengusiran, mempertahankan diri dari penganiayaan, dan mempertahankan diri dengan berpendirian bahawa Tuhan kami ialah Allah. Dalam surah al- Anfal ayat 65 pula, Allah SWT telah menggambarkan bagaimana pertolongan-Nya diturunkan ke atas umat Islam yang sedikit jumlahnya dapat mengalahkan musuh yang ramai dengan nisbah kekuatan 20 orang mengalahkan 200 orang tentera musuh.

Kekuatan dan bantuan rohaniah ini juga telah diberikan oleh Allah SWT kepada tentera Islam di dalam peperangan Ahzab yang seramai 3,000 orang menewaskan pakatan musyrikin Madinah dan Mekah berjumlah 10,000 orang. Manakala dalam peperangan Mu'tah, tentera Islam seramai 3,000 orang berjaya menewaskan tentera Rom berjumlah 20,000 orang.  Mimbar berpendapat bahawa perjuangan Hamas, Hizbullah dan kumpulan jihad lain menentang Israel adalah jihad fi sabilillah.

Selari dengan pendapat ulama, maka mimbar menyatakan bahawa perjuangan umat Islam Palestin menentang Israel adalah perang fi sabilillah. Pendapat ini menyatakan bahawa hukum berjihad adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam yang negerinya telah diserang oleh musuh. Bagaimanapun, ia menjadi fardhu kifayah ke atas umat Islam yang lain, yang berada di luar wilayah bergolak tersebut. Menurut Sheikh Ibn Taimiyyah, mempertahankan bumi umat Islam daripada musuh yang mengganas dan memusnahkan Islam serta kehidupan umat Islam adalah kewajipan yang paling penting ke atas setiap umat Islam selepas iman. Sesungguhnya Islam memberi penghormatan tinggi kepada mereka yang mati dalam perang fi sabilillah. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 169:

Yang Bermaksud: ” Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki."

Walaupun Islam membenarkan perang fi sabilillah tetapi umat Islam hendaklah mematuhi etika peperangan. Abu Bakar As- Siddiq pernah berpesan kepada kaum muslimin sebelum berangkat ke medan perang dengan mengingatkan tenteranya supaya jangan berbuat khianat, membunuh bayi, membunuh orang tua, membunuh kaum wanita, menyembelih binatang ternakan, menebang pokok, menghancurkan rumah penduduk, membakar ladang pertanian, mengganggu orang beribadat dan menyerang mereka pada waktu subuh untuk mengelak kaum wanita dan kanak-kanak menjadi panik.

Mimbar ingin menarik perhatian sidang Jumaat bahawa umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.3 bilion, manakala penduduk Yahudi seramai 6 juta orang sahaja. Apa yang menjadi isu ialah kekuatan tentera Israel dan dasar peluasan wilayahnya menyebabkan negara Arab sekitarnya berdiam diri kecuali kumpulan jihad Islam yang berani menembusi kekebalan Israel. Perang fi sabilillah di Palestin adalah untuk mempertahankan hak Allah dan umat Islam. Kumpulan jihad ini dibentuk oleh orang-orang yang beriman dan berjuang atas dasar mematuhi perintah dan ketakwaan kepada Allah SWT. Oleh itu, mereka melakukan jihad yang berterusan dan inilah yang sedang berlaku di Gaza dan beberapa kawasan di Palestin. Pertembungan rejim Zionis dengan kumpulan jihad, diibaratkan sebagai pertemuan buku dengan ruas kerana kumpulan jihad sebenarnya tidak takut mati. Manakala rejim Zionis pula adalah puak yang takut mati.

Keganasan Israel berkait rapat dengan tabiat buruk Bani Israel. Dalam al-Qur'an disebutkan bahawa mereka bertabiat angkuh, suka mempersenda para Nabi, sangat tamak, suka menyalahi janji, suka berbohong, bersifat melampau, suka melakukan kerosakan di laut dan di darat, kufur nikmat, suka menyalahi janji dan mencampur adukkan yang hak dengan yang batil. Tabiat buruk ini menjadi satu kebanggaan kepada mereka walaupun tinggi ilmu pengetahuan dan hidup lebih moden.


Daripada :

Ustaz Hanif Bin Hashim
Imam Masjid al-Hikmah
UiTM Cawangan Melaka

 
nakliyat evden eve nakliyat evden eve nakliyat mustafa ceceli ferdi tayfur yıldız tilbe nakliyat evden eve nakliyat div id=