MUI NE, 1 September 2019 – Seramai 20 delegasi yang terdiri daripada mahasiswa dan staf akademik UiTM Cawangan Melaka yang diketuai oleh Puan Siti Rosnita Sakarji, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan terlibat dalam Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa yang diadakan di perkampungan Melayu Champa, daerah Mui Ne Vietnam. Terdapat dua lokasi telah dipilih bagi menjalankan program pengantarabangsaan serantau pada hari ini iaitu di Masjid Ngay Thu Sau, Kampung Thon Binh Minh dan Madrasah Noorul Ehsan.

Pasukan delegasi yang turut disertai oleh Rektor, Prof Dr Abd. Halim bin Mohd Noor telah mewakili UiTMCM dan Prof Madya Dr Shafinar Ismail, Timbalan Rektor PJI menyalurkan sumbangan prihatin kepada 50 keluarga atau 120 orang penduduk muslim terdiri daripada golongan kurang berkemampuan di perkampungan Melayu Champa tersebut untuk meringankan beban sara hidup komuniti Islam di Vietnam. Majlis penyerahan sumbangan telah disaksi oleh Imam Abdul Karim di Masjid Ngay Thu Sau.

Sumbangan yang diberikan dalam misi khidmat masyarakat kali ini termasuk wang tunai sebanyak RM250.00, kit kebersihan, tudung, kitab, peralatan menulis, produk pembersih dan makanan asas seperti beras, gula, susu, sambal dan lain-lain. Antara penaja yang bermurah hati yang telah menyumbang dalam bentuk barangan adalah seperti AFY Haniff selaku penaja utama yang menyumbangkan barangan dalam anggaran RM750, MYC! Malaysian Youth Community, Abadi Utama Enterprise, Youth Empowerment Society dan lain-lain.

Selain daripada penyerahan sumbangan tersebut, aktiviti lain yang dijalankan adalah seperti demo penggunaan cairan sabun pembersih pinggan, penghalau serangga & pencuci serta sabun tangan berbuih dengan cara yang betul. Kesemua produk pembersih tersebut ditaja oleh AFY Haniff. Sesi ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penduduk daripada keluarga kurang berkemampuan supaya lebih menjaga kebersihan sekeliling rumah dan komuniti. Program yang berlangsung di sekitar kawasan Mui Ne juga diteruskan di madrasah sekitar Bandar Ho Chi Minh.