ALOR GAJAH, 9 Mei 2017: UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah telah mengadakan Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik (KKKE) TNB – UiTM bertempat di Dewan Taming Sari. Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan dari Prof Madya Sabariah Mahat Rektor UiTM Cawangan Melaka dan seterusnya majlis dirasmikan oleh Encik Shamsul Ariffin b. Zainuddin, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan Tenaga Nasional Berhad.

Program ini merupakan projek CSR TNB yang telah pun dijalankan di beberapa kampus di seluruh negara. Menurut Encik Shamsul, UiTM Melaka merupakan lokasi ke -9 kempen seperti ini dijalankan. Ia bertujuan bagi memberi kesedaran dan pendidikan mengenai keselamatan elektrik kepada masyarakat khususnya warga IPT (para akademik, staf dan pelajar) mulai 2017.

Tujuan lain diadakan adalah bagi menyalurkan maklumat berkaitan asas keselamatan elektrik dan memberi pendedahan tentang bahaya-bahaya serta cara-cara bertindak jika berlaku sesuatu kemalangan serta memberi penekanan tentang kepentingan amalan kesihatan elektrik di premis-premis. Ia juga diharapkan dapat membantu mengurangkan kecuaian yang mengakibatkan kemalangan berkaitan elektrik.