JOHOR BAHRU, 23 Oktober 2018 - Buletin terbitan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Melaka bertajuk Swadaya telah berjaya membolot tiga daripada enam anugerah yang dipertandingkan dalam Anugerah Citra Buletin Mandala Selatan 2018 di Majlis Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Jerayawara Zon Selatan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

Majlis Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Jerayawara Zon Selatan tersebut berlangsung baru-baru ini pada 20 Oktober 2018 di Atrium Angsana Mall, Johor Bahru. Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Jerayawara Zon Selatan dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji Azmi Bin Rohani.

Dengan penyertaan dari lebih 20 jabatan-jabatan kecil di Zon Selatan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media telah dinobatkan sebagai pemenang Kategori Buletin Terbaik secara keseluruhan dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2000.00 berserta sijil penyertaan dan plak. Manakala, pemenang Kategori Editor Terbaik” dimenangi oleh Noorazura binti Durani pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media membawa pulang wang tunai sebanyak RM800.00 berserta sijil penyertaan dan plak. Kategori Pelaporan Berita Terbaik juga bagi berita “GameINC 2018 Pamer Kreativiti Pelajar” pula dimenangi oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (kepujian) Perhubungan Awam, Cik Nurul Diyana Binti Mohd Daud yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM600.00 berserta sijil penyertaan dan plak.

Menerusi anugerah-anugerah yang dimenangi, pihak fakulti berharap anugerah ini dapat menjadi satu lonjakan untuk terus maju serta memperlihatkan perkembangan positif dalam bidang komunikasi dan media khususnya dalam bidang penulisan.