Pengenalan Unit Perhubungan ALUMNI

E-mail Print PDF

Detik sejarah UiTM mula berputik sejak ditubuhkan pada tahun 1956 di bawah Dewan Latihan RIDA dan dikenali sebagai Maktab MARA (1965) seterusnya kepada Institut Teknologi  MARA (1967) dan Universiti Teknologi MARA  pada 26 Ogos 1999.

Menyedari hakikat bahawa hubungan di antara IPT dan graduan keluarannya perlu dipupuk dan diperkembangkan bagi mewujudkan silaturrahim berterusan, Y.Bhg Prof Tan Sri Dato Awang Had Salleh, Pengarah UiTM ketika itu telah mengilhamkan penubuhan Alumni UiTM yang berfungsi sebagai sebuah kelab sosial.

Bagi memperkemaskan dan mempertingkatkan peranan Alumni yang pada awal penubuhannya lebih merupakan satu pertubuhan longgar, Persatuan Alumni UiTM telah didaftarkan dan diluluskan pendaftarannya pada Oktober 1992.

Dengan tertubuhnya persatuan ini, ia kini menjadi wakil Alumni dan berperanan mengekalkan perhubungan di kalangan Alumni UiTM serta menganjurkan kegiatan-kegiatan sosial seperti program khidmat masyarakat, perbincangan meja bulat dan seminar, perkongsian ilmu industri serta aktiviti-aktiviti kesukanan. Selain itu, ia juga menjadi satu penggerak kepada penjanaan pendapatan dengan program keusahawanan dan juga sumbangan kewangan daripada Alumni.

Saban tahun UiTM menjadi lebih agresif bukan sahaja dari segi pembangunan tetapi juga jumlah kursus dan siswa siswi. Graduan keluaran UiTM juga berkemampuan untuk mengisi pekerjaan di dalam pelbagai bidang iktisas dan memainkan peranan penting dalam pembangunan bangsa Melayu.

PERANAN UNIT PERHUBUNGAN ALUMNI

Sebagai pengikat rangkaian silaturahim di kalangan Alumni, sebuah unit yang dikenali sebagai Unit Perhubungan Alumni telah diwujudkan dan fungsi utama pejabat ini ialah mengumpul serta mengemaskini data maklumat Alumni bagi memperolehkan mereka berinteraksi di kalangan rakan-rakan Alumni.

Antara peranan utama Unit Perhubungan Alumni adalah seperti berikut:

a)    Menjalin hubungan mesra antara Universiti dan Alumni melalui aktiviti-aktiviti  yang dirancang.

b)    Mewujudkan hubungan berterusan demi kemajuan Universiti dan Alumni untuk kesejahteraan universiti, pelajar dan masyarakat.

c)    Mengeratkan kerjasama Alumni dalam pelbagai bidang melalui sumbangan idea dan kepakaran serta pelaksanaan program pembangunan profesionalisme.

d)    Menyelaras aktiviti alumni dan bekerjasama rapat dengan Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Pengajian.