Jabatan Undang-Undang

E-mail Print PDF

Pada permulaan operasinya di bangunan IKM lama di Jalan Hang Tuah, ITM Cawangan Melaka hanya mempunyai seorang sahaja pensyarah undang-undang yang berstatus sepenuh masa dibantu oleh beberapa orang peguam yang berkhidmat secara separuh masa bagi mengajar kursus/subjek undang-undang untuk para pelajar daripada fakulti-fakulti yang memerlukan khidmat.

Beberapa pensyarah berstatus sepenuh masa mula melangkah masuk pada tahun 1987 untuk mengajar subjek undang-undang di Kampus Jalan Hang Tuah berkenaan di bawah naungan Fakulti Pentadbiran dan Undang-Undang.  Oleh kerana jawatan Koordinator Undang-Undang belum lagi diwujudkan pada masa itu, semua pensyarah undang-undang adalah di bawah seliaan Ketua Kursus Diploma Pentadbiran Awam ketika itu, Puan (sekarang Dr) Zaleha Hussin.

Pada tahun 1994, ITM Cawangan Melaka berpindah ke kampus tetap di Lendu, Alor Gajah dan jumlah pensyarah undang-undang pun semakin bertambah bagi menampung keperluan pembelajaran pelajar yang semakin ramai. Selaras dengan itu, pada tahun 1999, jawatan Koordinator Undang-Undang diwujudkan dan jawatan itu buat pertama kalinya disandang oleh Puan (sekarang PM) Rusnah Aluai dari tahun 1999 hingga 2001 di bawah seliaan Encik (sekarang PM) Rozalli Hashim.

Antara tugas Koordinator Undang-Undang adalah untuk menyelia para pensyarah undang-undang agar dapat memberikan khidmat “servicing” pada fakulti-fakulti di kampus ini. Selain dari itu, ko-ordinator juga memberi khidmat nasihat perundangan kepada unit-unit lain juga.  Memandangkan tiada pelajar undang-undang di sini, para pensyarah undang-undang adalah sebagai “servicing lecturers” sahaja.

Selain daripada memberi khidmat sebagai “servicing lecturers”, pensyarah undang-undang juga memberi nasihat perundangan kepada HEP dan HEA dalam perbicaraan tatatertib.  Bermula dengan hanya dua orang penasihat sahaja yang dilantik sebagai ahli panel lembaga tatatertib pelajar daripada mulanya kampus beroperasi pada tahun 2005, jumlah penasihat sekarang adalah lima orang memandangkan HEP dan HEA bersidang secara berasingan.  Pada tahun 2007, penasihat undang-undang yang berlima ini mula memberi khidmat perundangan di Kampus Bandaraya Melaka (KBM) dan juga Kampus Kuala Pilah di Negeri Sembilan.