Fakulti Pengurusan Perniagaan adalah fakulti terawal UiTM dengan tertubuhnya Dewan Latihan RIDA (Rural Industrial Development Authority) pada tahun 1956. Fakulti ini kini adalah fakulti terbesar di Malaysia dengan lebih 20,000 pelajar dan kira-kira 60,000 alumni yang ramai di antaranya memegang jawatan tinggi di dalam sektor swasta. Fakulti ini memainkan peranan yang amat penting dalam pembinaan negara dan untuk menepati peranan itu fakulti ini menawarkan program-program yang sejajar dengan keperluan komuniti perniagaan yang sentiasa berkembang pesat.

Di UiTM Melaka, FPP menawarkan program-program diploma di Kampus Alor Gajah dan program-program ijazah di Kampus Bandaraya Melaka yang mendedahkan pelajar kepada aspek-aspek pengurusan perniagaan seperti pengurusan, pemasaran, kewangan, operasi dan yang berkaitan.