ALOR GAJAH, 14 Ogos 2019 - Seramai 22 orang pelajar dari Bunkyo Gakuin University, Jepun sedang menjalani program bahasa musim panas “Summer Program” di UiTM Cawangan Melaka dari 9 - 20 Ogos 2019 bagi mempelajari Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Kebudayaan Malaysia. Program ini dianjurkan oleh Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Melaka dan Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa (OIA) UiTM Shah Alam bersama Akademi Pengajian Bahasa, dan Fakulti Senilukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Melaka.

Para peserta menghadiri kuliah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bersama pensyarah APB dan juga melakukan sesi praktikal seni bersama pensyarah FSSR sepanjang menjalani program bahasa musim panas ini diiringi oleh 2 pegawai iaitu Prof Takefumi Kobayashi dan Prof Terashima Takuyuki. Selain daripada itu, beberapa sesi lawatan ke tempat-tempat pelancongan di Melaka juga dijadualkan dalam program ini. Pelajar-pelajar juga mendapat pengalaman merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampung Morten, Melaka dan menyaksikan ibadah korban pada pagi semalam di UiTM Kampus Alor Gajah.