PHNOM PENH, 17 Ogos 2019 - Sempena dengan Ibadah Korban 2019, Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin dengan kerjasama Unit Kebudayaan UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya dan Ibzura World Travel and Tours telah menganjurkan program khidmat masyarakat dan pengantarabangsaan di beberapa perkampungan Islam Kemboja pada 13-17 Ogos 2019. Sebanyak 9 sukarelawan terlibat dalam menguruskan sumbangan dan amanah bagi program ini terdiri daripada warga kerja UiTMCM dan warga kerja Ibzura.

Program yang telah memasuki siri ke-3 ini telah mendapat pelbagai sumbangan daripada warga UiTMCM dan juga orang awam.

Sumbangan ini diagihkan kepada beberapa pusat Tahfiz dan juga penduduk Muslim di perkampungan Islam tersebut. Menurut Mohd Ismail Abidin yang merupakan ketua projek ini, program siri ke-3 ini sangat istimewa kerana bukan sahaja dapat melaksanakan amanah Ibadah Korban dan pemberian beras serta sumbangan lain, namun juga dapat menyaksikan sendiri 8 buah keluarga (20 orang dewasa) saudara baru mengungkapkan kalimah syahadah lalu bersetuju memeluk Islam di Markaz Da'wah Islamiyah Muhammad Abdillah Abdulaziz Albadiwidi Ratanakiri, Cambodia.

Sebanyak 8 lokasi telah dipilih bagi menjalankan Program Pengantarabangsaan kali ini iaitu di Pusat Tahfiz Quran Kampong Pare Biah, Kampung Osmaj, Madrasah Tahfiz Al-Iman Pre Pra, Madrasah Tahfiz Darul Quran Rohsah Themer, Madrasah Tahfiz Darul Furqan Prek Pra, Madrasah Maahad Tahfiz Quran Kampong Oberich Prech Kratie, Markaz Da'wah Islamiyah Muhammad Abdillah Abdulaziz Albadiwi.

Menurut En Mohd Azmi Mohd Ali Aanafiah, Penolong Pegawai Keselamatan pula yang merupakan sukarelawan yang pertama kali mengikuti program khidmat masyarakat di luar negara ini, beliau berasa bertuah kerana mendapat pengalaman baru lebih-lebih lagi berpeluang mengenali penduduk perkampungan dan saudara baru disana. Perjalanan ke perkampungan saudara baru di Ratanakiri, Kemboja memakan masa lebih 10 jam dari Bandar Phnom Penh juga merupakan satu pengalaman yang sangat menakjubkan dan mempunyai nilai pengorbanan yang tersendiri.

Program CSR kali ini juga mendapat tajaan makanan segera (instant food) untuk semua sukarelawan dari syarikat NASGERA yang membekalkan produk makanan halal yang memudahkan pengembara lebih-lebih lagi di negara minoriti Islam.