HO CHI MINH CITY, 29 Ogos 2019 – Seramai 20 orang peserta terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa UiTM Cawangan Melaka terlibat dalam program 'International Community Engagement and Cross Fertilization' yang diadakan di sekitar bandar Ho Chi Minh (HCMC) dan Dalat, Vietnam bermula 28 Ogos hingga 2 September 2019.

Program ini turut disertai oleh Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Abd Halim Mohd Noor dan Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Prof. Madya Dr. Shafinar binti Ismail. Delegasi program ini telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat pada jam 9.20 pagi. Lawatan akademik di Malaysian Education di Vietnam merupakan aktiviti pertama di dalam rangka program tersebut.

Pasukan telah disambut baik oleh Encik Chong Wai Kit, Konsul Pendidikan di Ho Chi Minh City. Dalam sesi taklimat, beliau telah menerangkan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh Pejabat Jeneral Konsulat Malaysia HCMC dalam kerja penyelarasan dan promosi pendidikan pengantarabangsa Malaysia.

Antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang 6 hari ini termasuk lawatan industri, simposium akademik, sesi perkongsian ilmu di antara warga UiTMCM dan Tan Tao universiti serta University of Economic and Finance, program khidmat masyarakat, program 'cross-fertilization' bersama penduduk di sekitar Dalat.

Program pengantarabangsaan ini juga telah mendapat sokongan dan sumbangan daripada penaja seperti AFY Haniff dan MYC! Malaysian Youth Community.