MELAKA, 17 September 2019 - Seramai 350 warga pensyarah dan pelajar telah menyertai Program Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia 2.0 bertempat di UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya. Program ini adalah anjuran Jabatan Undang-Undang, UiTM Cawangan Melaka; bersama-sama dengan Unit Hal Ehwal Islam (HEI), UiTM Cawangan Melaka dan Unit Hal Ehwal Kurikulum dan Pembangunan Akademik (UCAAD), Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), UiTM Cawangan Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia.

Terdapat beberapa pengisian yang telah diadakan sepanjang program ini berlangsung iaitu Sesi Diskusi berkaitan Deraf Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknologi MARA dan Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia. Selain itu, Program Bicara Tokoh Perniagaan Ceramah Rahsia Sukses dalam Perniagaan yang bertajuk “Ilmu Sejengkal, Amalan Seinci vs Ilmu Seinci, Amalan Sejengkal” telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Seri Baharudin bin Haji Abu; dan disusuli dengan Slot Rawatan Terapi Minda dan Saraf kepada pelajar/staf yang terpilih.

Selain itu, Sesi soal jawab turut diadakan antara panel penceramah dengan para peserta bagi mendapatkan maklumat lanjut yang berkaitan. Program tersebut turut diserikan lagi dengan sesi agihan sumbangan daripada pihak Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia kepada pelajar asnaf seramai 77 orang daripada pelbagai fakulti di UiTM Cawangan Kampus Bandaraya ini.

Perasmian program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Abd Halim Mohd Noor, Rektor UiTM Cawangan Melaka. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa UiTM Cawangan Melaka amat berlapang dada dan sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk jalinan kerjasama strategik mahupun perkongsian pintar sebegini dalam usaha memperkasakan perkongsian pengetahuan dan pengalaman yang cukup berharga dalam usaha ke arah melahirkan sesuatu hasil yang berimpak tinggi dan tentunya amat wajar sekali untuk diteruskan pada masa hadapan kelak demi manfaat bersama.