UiTM Melaka - Kampus Alor Gajah (KAG)

UiTM Melaka bermula pada Ogos 1984 di bangunan sementara di Institut Kemahiran MARA (IKM) di Jalan Hang Tuah. Pada permulaan jumlah hanya 32 orang kakitangan sokongan dan 5 orang Pensyarah. Jumlah pelajar pertama ketika itu seramai 158 orang sahaja dan kursus yang ditawarkan adalah Diploma Pentadbiran Awam (DPA), Diploma Pengajian Perniagaan (DBS), Diploma Perakaunan (DIA) dan Diploma Sains Kesetiausahaan (DSS).

Januari 1994 mula berpindah ke Kampus tetap di Lendu, Alor Gajah. Keluasan Kampus 358.2 ekar dan 26 Km dari Bandar Melaka. Pada 2 Mei 1996 Kampus UiTM Melaka (ITM Melaka ketika itu) telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Seri Mahathir Mohamad. Tanggal 26 Ogos 1999, Perdana Menteri Malaysia telah mengistiharkan ITM dinaikan taraf kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dari 1984 sehingga kini UiTM Melaka telah diterajui oleh 7 orang Pengarah. UiTM Melaka berkembang pesat dengan pertambahan pelajar melepasi 6,500 orang. Dibantu dengan 283 kakitangan sokongan dan 460 orang pensyarah. Sebahagian daripada pensyarah-pensyarah ini mengajar di kedua-dua kampus.


UiTM Melaka - Kampus Bandaraya Melaka (KBM)

Mula beroperasi pada 15 Disember 2006, dengan 11 orang kakitangan pentadbiran. Sesi akademik bermula pada 3 Januari 2007. Diterajui oleh Pengarah Kampus UiTM Melaka iaitu Prof Madya Dr Mizan bin Hj. Hitam dan dibantu oleh Timbalan Pengarah Kampus Bandaraya iaitu Prof Madya Mohd Zainud-Din bin Hassan.

Merupakan agenda nasional dengan Usahasama Ketua Menteri Melaka dan Naib Canselor UiTM untuk merealisasikan hasrat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri 200 000 pelajar di UiTM. Tanggal 26 Mac 2007 warga UiTM berbangga dengan perasmian KBM oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam.

KBM menempa sejarah ”City Campus” UiTM terbesar di Malaysia dengan jumlah pelajar hampir 3,500 orang.

 

UiTM Melaka - Kampus Jasin Melaka (KJM)

UiTM Kampus Jasin mula dibina selepas majlis pecah tanahnya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 19 Februari 2011. Pembinaan kampus ketiga akan menjadikan ketiga-tiga daerah di Melaka memiliki Kampus UiTM. Daerah Melaka Tengah menempatkan Kampus Bandar Raya, Daerah Alor Gajah memiliki Kampus Lendu, manakala Daerah Jasin dibina di atas tapak seluas 218 ekar di Felcra Seri Mendapat.

Tawaran kursus berasaskan Sains dan Teknologi di Kampus Jasin akan melengkapkan gabungan kursus yang bukan berasaskan Sains dan Teknologi di Kampus Alor Gajah dan Kampus Bandar Raya.

Sebanyak 50% dari keseluruhan jumlah pelajar, iaitu sebanyak 2500 orang disediakan kemudahan tempat tinggal. Ini bermakna selebihnya iaitu 2500 orang lagi akan tinggal di luar kampus.

Pintu masuk ke Kampus Jasin ini bagi mereka yang memandu menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan ialah melalui pintu masuk Merlimau Jasin dengan melalui Plaza Tol Lipat Kajang. Kampus ini terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Raya Melaka.