1. Rawatan Pesakit Luar
    UiTM menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan dalam kampus yang dikendalikan oleh kakitangan UiTM. Semua pelajar yang memasuki skim ini adalah layak mendapat kemudahan ini mengikut kepada jadual yang ditetapkan oleh Pusat/Unit Kesihatan UiTM.
  2. Rawatan Pergigian
    Semua pelajar sepenuh masa yang memasuki skim ini juga layak untuk mendapatkan kemudahan rawatan pergigian di Pusat/Unit Kesihatan yang menyediakan perkhidmatan ini atau dirujuk kepada Klinik Pergigian yang terdekat.
  3. Rawatan Kes Kecemasan
    “ Kes Kecemasan “ bermakna, sebarang kes yang berkaitan dengan kecederaan dan kemalangan, kesakitan yang teramat sangat, demam panas yang terlalu tinggi (melebihi 39 C), kesukaran untuk bernafas, perdarahan, tidak sedarkan diri dan keadaan pesakit mengganggu ketenteraman orang lain atau membahayakan dirinya dan orang lain. Kemudahan rawatan kecemasan juga disediakan pada waktu beroperasi dan dilanjutkan sehingga di luar waktu bekerja yang akan diuruskan oleh Staf Residen Kolej untuk dibawa ke klinik/hospital berdekatan.
  4. Kemudahan Makmal
    Kemudahan ini disediakan oleh Pusat/Unit Kesihatan UiTM ataupun mana-mana Hospital Kerajaan ,Hospital Angkatan Tentera dan Hospital Universiti yang dirujuk oleh Doktor UiTM, kemudahan ini ditanggung oleh pihak Universiti.
  5. Kemudahan Kelayakan Wad
    1. Klinik UiTM
      Klinik UiTM menyediakan kemudahan wad pemerhatian bagi kes-kes yang dirasakan perlu oleh Doktor UiTM untuk rawatan lanjut sebelum tindakan selanjutnya atau dirujuk kepada klinik/hospital
    2. Hospital-Hospital Kerajaan / Universiti
      Bagi kes-kes yang perlu dirujuk ke Hospital-hospital Kerajaan, Hospital Angkatan Tentera atau Hospital Universiti, pelajar berkelayakan tinggal di Wad Kelas Dua ( 2 ) atau lebih rendah. Universiti tidak akan menanggung apa-apa bayaran bagi kelas yang lebih tinggi dari Kelas Dua ( 2 ).
    3. Hospital Swasta
      Universiti tidak akan menanggung apa-apa jenis bayaran bagi rawatan atau wad, di Hospital Swasta melainkan mendapat kelulusan dari Timbalan Naib Canselor HEP UiTM terlebih dahulu.
    4. Hospital Kerajaan
      Universiti juga akan menanggung kemudahan rawatan pelajar dimana-mana Hospital Kerajaan, Hospital Angkatan Tentera atau Hospital Universiti samada dirujuk oleh Doktor Universiti atau dengan Doktor pilihannya sendiri, sepanjang pengajiannya, selagi ia menjadi pelajar di Universiti ini.
      • Surat Jaminan (Guarantee Letter)
        Seseorang pelajar atau warisnya boleh mendapat Surat Akuan “ Guarantee Letter “ tanggungan bayaran Hospital oleh Universiti dari Unit Kesihatan UiTM. Sah laku Surat Akuan adalah 1 ( satu ) bulan dari tarikh ianya dikeluarkan
        Mohon 'Guarantee Letter' di Unit Kesihatan UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya. 
      • Kos Bayaran Yang Ditanggung Oleh Universiti
        Universiti akan menanggung kos bayaran yang tidak melebihi RM5000.00 dalam satu tahun akademik bagi seorang pelajar yang dikenakan oleh pihak Hospital ke atas pelajar. Kos tersebut termasuk bayaran pendaftaran , semua jenis pemeriksaan makmal dan X-Ray, rawatan, ubat-ubatan, pembedahan dan bayaran Wad kecuali yang termasuk dalam perkara 9. 
      • Mendahulukan Pembayaran
        Pembayaran Kos rawatan di Hospital yang terpaksa didahulukan oleh pelajar boleh dituntut dari Universiti dengan mengemukakan resit-resit asal kepada Pejabat Am Pusat/Unit Kesihatan UiTM bagi tujuan pengesahan Doktor Universiti.
  6. Kemudahan Rawatan Pakar
    Kemudahan ini akan hanya dirujuk oleh Doktor Universiti atau Pegawai Perubatan Kerajaan kepada Pakar-pakar di Hospital atau Hospital Universiti sahaja. 
  7. Sijil Cuti Sakit
    1. Semasa Minggu Bekerja
      Sijil Cuti sakit boleh didapati dari Pusat/Unit Kesihatan UiTM ataupun Klinik dan Hospital kerajaan, Hospital Angkatan Tentera atau Hospital Universiti. Sijil cuti sakit dari Pusat/Unit Kesihatan UiTM hanya boleh dikeluarkan oleh Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Penolong Pegawai perubatan untuk pelajar yang layak sahaja.
    2. Pengesahan Sijil Cuti Sakit Swasta
      Sijil Cuti Sakit yang dikeluarkan oleh klinik/hospital swasta tidak boleh disahkan oleh Pegawai Perubatan UiTM. 
    3. Semasa Peperiksaan
      Sijil cuti sakit yang dikeluarkan semasa peperiksaan tertakluk kepada Peraturan Akademik
  8. Rawatan Yang Tidak Ditanggung Oleh Universiti
    1. Rawatan ubat-ubatan dan peralatan untuk pencegahan kehamilan, kemandulan dan kesuburan.
    2. Alat-alatan dan barang-barang gantian anggota seperti gigi palsu, korona/jambatan/implant.
    3. Rawatan perubatan dan pembedahan dengan tujuan kosmetik dan ritual, melainkan dalam keadaan dimana Doktor Universiti berpendapat rawatan itu diperlukan untuk mengurangkan risiko kepada pesakit.
    4. Rawatan dan pemeriksaan berkaitan dengan mengandung dan bersalin samada dalam keadaan normal ataupun tidak normal.
    5. Rawatan immunisasi samada untuk tujuan pelalian biasa ataupun untuk keadaan wajib seperti imunisasi sebelum pergi keluar negeri, imunisasi semasa wabak dan sebagainya, kecuali suntikan ATT dan yang diberi oleh Universiti.
    6. Perbelanjaan rawatan perubatan alternatif.
    7. Perbelanjaan rawatan di Hospital atau Klinik Swasta melainkan Doktor Universiti dapat mengesahkan dalam keadaan kemalangan.
    8. Perbelanjaan rawatan di luar negara
    9. Ubat-ubatan yang dibeli dari Farmasi melainkan yang mempunyai preskripsi dari Doktor Kerajaan, Doktor Angkatan Tentera atau Doktor Universiti.
    10. Rawatan Ortodontik di Hospital Kerajaan / Klinik Swasta.