Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka bermula melalui pembukaan cawangan Institut Teknologi MARA (ITM) di sebuah kampus sementara di Jalan Hang Tuah pada 12 Ogos 1984.

Daripada kira-kira 160 orang pelajar, UiTM Melaka mencatat beberapa peristiwa penting termasuk secara automatik menjadi universiti apabila Perdana Menteri (ketika itu) Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pemberian taraf Universiti penuh kepada ITM.

Jumlah keseluruhan pelajar UiTM Melaka akan mencecah 20,000 dengan pembukaan kampus baru, iaitu Kampus Jasin Melaka. Kampus terbaru ini adalah sebagai tambahan kepada kampus sedia ada iaitu Kampus Alor Gajah yang juga menjadi Kampus Induk dan Kampus Bandaraya.

Kampus Alor Gajah sendiri menampung kira-kira 8,500 pelajar peringkat Diploma manakala Kampus Bandaraya Melaka menampung hampir 5,000 pelajar yang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama dan Ijazah Lanjutan (Sarjana). Kampus Jasin Melaka pula dijangka menempatkan sehingga 6,000 orang pelajar. Keistimewaan kampus terbaru ini ialah ia menawarkan program bagi kedua-dua peringkat Ijazah Pertama dan Diploma.

Kampus Alor Gajah yang juga Kampus Induk telah dirasmikan pada 2 Mei 1996 olah Tun Dr Mahathir di atas kawasan seluas 143.28 hektar.

Pada 1 Januari 2013, UiTM Melaka menerima watikah anugerah status Kampus Autonomi dan membawa kepada penganjuran Istiadat Konvoksyen yang pertama di UiTM Melaka sendiri  iaitu pada November 2013. Istiadat diadakan di dewan utama di Kampus Alor Gajah, iaitu Dewan Taming Sari.

Dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Rektor UiTM Melaka, Profesor Madya Dr Mohd Adnan Hashim menggariskan pandangan masa depan ketiga-tiga kampus. Kampus Alor Gajah akan bergerak ke arah wajah “Kampus Dalam Taman” manakala Kampus Bandaraya Melayu akan mengekalkan wajah “Kampus Kota” dengan program pengindahannya. Kampus Jasin Melaka yang turut menempatkan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi pula akan dibangunkan sebagai “Kampus Hijau” dengan ciri-ciri pengekalan alam semula jadi.

Daripada pengururusan akademik, Rektor dibantu oleh tiga Timbalan Rektor iaitu masing-masing bagi Hal Ehwal Akademik, Hal Ehwal Pelajar, Penyelidikan, Jaringan Antarabangsa dan Alumni. Pentadbiran Kampus Bandaraya Melaka dan Kampus Jasin Melaka pula masing-masing diterajui oleh Penolong Rektor. Yang turut berada dalam barisan pengurusan eksekutif  ialah Timbalan Pendaftar, Timbalan Bendahari dan Timbalan Ketua Pustakawan.