UiTM CM WALL

Collection of our news and event

Melaka : Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia, Persatuan Homestay Paya Lebar, dan Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar telah menganjurkan Program Perpaduan Budaya dan Homestay Pelajar Muda Jepun bermula pada 28 Mac sehingga 3 April 2018 bertempat di Homestay Paya Lebar, Masjid Tanah Melaka.

Seramai 23 orang pelajar muda yang merupakan ahli Hippo Family Club dari Jepun dan 33 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari Sekolah Al Amin yang mengambil Bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga menyertai program ini.

Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka, telah dipilih sebagai rakan kolaborasi di dalam program ini dengan menyediakan 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada para pelajar Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Pelancongan dan 4 orang pensyarah pengiring. Para sukarelawan yang terlibat telah ditugaskan sebagai pemandu pelancong dan juga pengantara budaya sepanjang program diadakan.

Pelbagai aktiviti telah diadakan selama tujuh hari seperti sesi suai kenal bersama keluarga angkat di Homestay Paya Lebar, lawatan ke lokasi-lokasi pelancongan di sekitar Bandar Melaka, Malam silang budaya bersama YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Malaysia, lawatan ke industri kecil dan sederhana dan lawatan eko pelancongan di sepanjang Sungai Linggi, Melaka. Di samping itu, satu lawatan kampus ke UiTM Cawangan Melaka juga telah diadakan pada 30 Mac 2018 lalu. Delegasi berkesempatan melawat Galeri Seni FSSR, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah dan beramah mesra dengan Timbalan Rektor PJI Prof Madya Dr. Shafinar Ismail dan pensyarah-pensyarah yang turut hadir.

Majlis perasmian penutup program tersebut telah diadakan pada 3 April 2018 bertempat di Sek. Keb. Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka dan dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Utama Ir. Hj. Idris Hj. Harun. Majlis penutup ini turut dihadiri oleh Rektor UiTM Cawangan Melaka, Datuk Prof. Madya Sabariah Hj. Mahat.