UiTM CM WALL

Collection of our news and event

ALOR GAJAH, 31 Januari 2019 – YBhg Brigedier Jeneral (K) Sr. Noor Halil bin Ismail, Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Teknologi MARA menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Latihan Intensif Bakal Komander siri ke-41 / 2019 UiTM Cawangan Melaka bertempat di Padang Kawad, UiTM Kampus Alor Gajah.

Latihan intensif selama 8 hari ini (24 – 31 Januari 2019) dianjurkan oleh Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Melaka melibatkan 174 orang bakal Komander Kesatria dan Komander Bulan Sabit Merah (BSM) UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah, Kampus Bandaraya dan Kampus Jasin dengan bantuan 14 orang urusetia dan bimbingan 4 orang jurulatih yang bertauliah serta berpengalaman luas dalam latihan.

Pengisian latihan merangkumi pelajaran latihan kawad kaki, bengkel sudut platun, bengkel membaca peta serta fungsi peta dengan cara penggunaan, pelajaran mengawadkan squad, ujian mengawadkan squad, pelajaran kawad menggunakan tongkat penyukat, sukan dan rekreasi, latihan kawad perhubungan, bengkel disiplin dan kepimpinan, ceramah, petua-petua jurulatih dan kuliah subuh sebagai salah satu pengisian rohani kepada bakal-bakal komander.

Noor Halil berharap kesemua peserta menjadi Komander Kesatria dan Komander PBSM UiTM Cawangan Melaka yang bertanggungjawab dan berwibawa, membentuk serta meningkatkan potensi diri serta daya kepimpinan yang tinggi. Beliau juga menegaskan seorang Komander semestinya seorang yang serba boleh, kreatif dan mempunyai daya inovasi yang baik selaras dengan hasrat universiti melahirkan graduan yang berkualiti

Turut hadir YBrs Kolonel (K) Ahmad Khairuman Md. Hasim, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Melaka mewakili Rektor, barisan pegawai kehormat dan staf Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Melaka.