ALOR GAJAH, 25 Mac 2019 - Telah berlangsung Majlis Anugerah Dekan bagi Program Diploma Sesi September 2018 - Januari 2019, Peringkat UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah yang bertempat di Dewan Taming Sari yang dianjurkan oleh Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Melaka. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg Datuk Prof Madya Sabariah Haji Mahat, Rektor UiTM Cawangan Melaka dan turut dihadiri oleh YBhg Prof Madya Dr Ahmad Mazli Muhammad, Dekan Akademi Pengajian Bahasa dan YBhg Prof Dr. Azizul Halim Yahya, Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.
Seramai 1500 orang pelajar yang memperoleh keputusan PNG/ GPA 3.50 dan ke atas dalam peperiksaan akhir Januari 2019 lepas telah menerima sijil Anugerah Dekan sebagai penghargaan di atas prestasi kecemerlangan akademik mereka. Fakulti yang terlibat dalam majlis ini masing-masing mempunyai penerima anugerah seramai 927 orang pelajar dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, 144 orang pelajar dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, 56 orang pelajar dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, 168 orang pelajar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, 177 orang pelajar dari Fakulti Perakaunan, dan 28 orang pelajar dari Akademi Pengajian Bahasa.
Selain itu, Majlis Anugerah Dekan kali ini telah menganugerahkan Pelajar Terbaik Fakulti yang diterima oleh Khairul Aiman Zakaria dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (BA111), Nur Sofrina Zulaikha Abd Rahman dari Fakulti Seni Halus dan Seni Reka (AD118), Aimi Nadhira Dzollani dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (HM111), Yasmin Abdul Aziz dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (MC110), Dhia Dol Razlan dari Fakulti Perakaunan dan Emily Nur Hani Suzairy dari Akademi Pengajian Bahasa.
Tahniah diucapkan kepada kesemua penerima Anugerah Dekan pada sesi kali ini. Semoga mereka sentiasa mengekalkan kecemerlangan dalam semua aspek agar menjadi inspirasi kepada para pelajar lain.