UiTM CM WALL

Collection of our news and event

ALOR GAJAH, 29 April 2019 - Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Melaka kerjasama Unit MoU Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri dan Asosiasi Dosen Akuntansi Indonesia (ADAI) telah berjaya menganjurkan satu lagi program pengantarabangsaan dinamakan “International Accounting Seminar and Intellectual Discourse” bertempat di Dewan Bendahara, UiTM Kampus Alor Gajah Melaka baru-baru ini.

ADAI dianggotai oleh para pensyarah dari perakaunan dari berbagai institusi pengajian tinggi dan sekolah di Indonesia ditubuhkan pada 15 Ogos 2017 dan pentadbirannya berpusat di Medan, Sumatra.

Program telah dirasmikan oleh Dr Hamidah Bani, Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Perakaunan mewakili Rektor UiTM Cawangan Melaka. Program separuh hari ini diisi dengan pembentangan 3 kertas kerja penyelidikan oleh pihak ADAI dan juga perbincangan ilmiah bertajuk “Integrity Issues of Accountant and its Profession’s Future”. Sesi perbincangan selama sejam ini mengenegahkan Dr Sharifah Norhafizah Syed Ibrahim sebagai moderator bersama seorang panel dari UiTM Cawangan Melaka dan dua orang panel dari ADAI sendiri.

Program yang disertai oleh 36 orang delegasi dari ADAI, 15 orang pensyarah Fakulti Perakaunan dan 46 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan ini mencapai objektifnya untuk memberi pendedahan yang lebih meluas kepada para pensyarah dan pelajar tentang isu-isu perakaunan di antara ke dua buah negara. Mereka juga turut berkongsi kepakaran tentang cara mengembangkan potensi dan profesion sebagai akauntan serta mencari peluang untuk melaksanakan penyelidikan dengan kerjasama rakan dari ADAI. Satu perancangan kolaborasi yang lebih berstruktur akan dirancang bagi memastikan kesatuan tenaga pengajar perakaunan ini dapat digembeling bukan sahaja di antara ADAI dan UiTM Melaka, malah juga dengan semua ahli akademi perakaunan di rantau Asia.