UiTM CM WALL

Collection of our news and event

JASIN 26 Nov. – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jasin telah menerima Anugerah Pensijilan Blue Ribbon Beyond sempena Majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Blue Ribbon 2019 diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

Penolong Rektor UiTM Jasin, Prof Madya Dr. Mohd. Rasdi Zaini berkata, penganugerahan yang diterima disebabkan kampus berkenaan telah melaksanakan 100% persekitaran bebas asap rokok telah diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurutnya, anugerah berkenaan mampu memberi dorongan universiti itu bagi menjadikan sebagai kampus yang bebas dari pencemaran asap itu ke arah melahirkan suasana Kampus Hijau.

“Pengiktirafan yang disampaikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad merupakan pencapaian terbaik buat UiTM Jasin terhadap Kempen Blue Ribbon ini.

“Kempen Blue Ribbon ini bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan individu, organisasi dan agensi terhadap pelaksanaan WHO FCTC (Framework Convention on Tabacco-Control) ke arah persekitaran bebas asap rokok,” katanya.

Majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Blue Ribbon 2019 anjuran Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) telah menganugerahkan beberapa agensi dan badan terlibat ke arah 100% Persekitaran Asap Rokok diadakan di sebuah hotel di Putrajaya, baru-baru ini.