UiTM CM WALL

Collection of our news and event

JAKARTA, 29 November 2019 - Telah berlangsung satu program lawatan antarabangsa ke Kementerian Pariwisata (KEMENPAR) Republik Indonesia oleh UiTM Cawangan Melaka baru-baru ini. Lawatan dijalankan bagi mendapatkan kerjasama dan sokongan dari Kementerian Pariwisata Republik Indonesia mengenai penubuhan Malaysia - Indonesia Tourism Research Centre di UiTM Melaka.

KEMENPAR diketuai Sekretariat Deputi Bidang Pengembangan Industri dan Kelembagaan (DBPIK), Dra. Riwud Mujirahayu. UiTM Cawangan Melaka diketuai Rektor, Prof Dr Abd Halim Mohd Noor. Turut bersama dalam lawatan ini Timbalan Rektor PJI, Prof Madya Dr Shafinar Ismail serta koordinator dan penyelaras Bahagian PJI universiti.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan merangkumi ucapan alu-aluan dari Ibu Riwud, ucapan Rektor serta perbincangan diantara UiTM Cawangan Melaka dan KEMENPAR mengenai penubuhan Malaysia - Indonesia Tourism Research Centre.

Majlis diteruskan dengan sesi kemuncak program iaitu persetujuan awal kedua-dua pihak untuk berkerjasama melalui kolaborasi penyelidikan dan penerbitan berindeks SCOPUS, penganjuran konferensi dan program pertukaran pelajar. Ibu Riwud menerangkan mengenai pembangunan Perguruan Tinggi Negeri Pariwisata (PTNP) dari aspek kurikulum, pensijilan dan Centre of Excellence (COE). Beliau mencadangkan agar kajian dibuat mengenai kerjasama yang dapat dijalankan antara Perguruan Tinggi (PT) Lombok, terutamanya berkenaan mobiliti pelajar.

POLTEKPAR Lombok merupakan COE bagi Wisata Halal. Ibu Riwud juga menjemput UiTM Melaka untuk melawat PT di Bali, Lombok dan Palembang dan mencadangkan agar diadakan joint degree diantara UiTM dan IPT di Indonesia.

Prof. Dr. Abd Halim berkata banyak perkara yang dapat dimanfaatkan daripada kolaborasi diantara IPT di Malaysia dan Indonesia, seperti mobiliti pelajar, kerjasama menjalankan seminar atau konferensi, penyelidikan dan penulisan. Timbalan Rektor PJI, Prof Madya Dr Shafinar juga mencadangkan agar kolaborasi 'IR 4.0 in Tourism' dapat dijalankan bersama fakulti lain di kampus.

“Lawatan ini telah berjaya dan pelbagai program kerjasama telah dirancang dan akan dilaksanakan merangkumi penubuhan Malaysia - Indonesia Tourism Research Centre yang merupakan misi utama delegasi UiTM Melaka dalam lawatan ini” kata Prof Madya Dr. Shafinar. Ini juga terbukti dengan minat KEMENPAR menyatakan hasrat bekerjasama dalam program penyelidikan anjuran UiTM Cawangan Melaka bagi tahun 2020.