UiTM CM WALL

Collection of our news and event

ALOR GAJAH 16 Dis. – Jawatankuasa Sukan Pelajar (JSP) yang ditubuhkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka merupakan sebuah platform terbaik bagi menggalakkan pelajar menyertai bidang sukan.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee berkata, JSP merupakan sebuah struktur organisasi yang amat berkesan bagi memperkembangkan aktiviti sukan malah ia mampu menarik pelajar mengambil bahagian dalam acara sukan di universiti berkenaan.

“JSP memberi pelbagai manfaat kepada pelajar selain ia dapat membentuk gaya hidup sihat melalui acara sukan dan ini juga mampu mengimbangi daya pemikiran pelajar yang bukan sahaja menumpukan kepada akademik malah aktiviti sukan di kampus.

“Saya harap JSP yang ditubuhkan ini mampu bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi meningkat dan mempelbagaikan program sukan sekali gus memberi manfaat kepada pelajar. “Permainan sukan terutama frisbee ini perlu diperkembangkan dalam UiTM kerana banyak memberi manfaat kepada pelajar,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Sepetang Bersama YB Kerk Chee Yee di universiti terbabit, baru-baru ini. Hadir sama, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Melaka, Ahmad Khairuman Md. Hasim. Program itu menerima sambutan hebat dengan kehadiran kira-kira 500 pelajar menghadirkan diri bagi menyertai program terbabit. Pelbagai acara menarik diadakan termasuk berkongsi pendangan antara Chee Yee dan jawatankuasa JSP di universiti berkenaan.