UiTM CM WALL

Collection of our news and event

ALOR GAJAH, 15 Disember 2016: Petron dengan kerjasama UiTM Melaka (Kampus Alor Gajah) telah menganjurkan satu program yang dikenali sebagai “Petron Road Safety Program” bertempat di Dewan Taming Sari, UiTM Kampus Alor Gajah, Melaka. Ia telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Norazman Harun. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap keselamatan jalan raya. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang mematuhi peraturan jalan raya dan menjadi pemandu yang berhemah.

Program ini telah mensasarkan seramai hampir 1000 orang pelajar daripada Kampus Alor Gajah, Kampus Bandaraya Melaka dan Kampus Jasin yang merupakan penunggang motorsikal dan pemandu kereta. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah pameran dan taklimat oleh agensi (JKJR, JPJ, Honda, Goodyear), pemeriksaan tayar oleh Goodyear, pemeriksaan dan penukaran helmet dan jaket keselamatan oleh JKJR dan kuiz keselamatan jalan raya.

Menurut Pengurus Komunikasi Petron Puan Suraya Haris Ong, beliau amat berpuashati dengan program yang telah dilaksanakan bersama UiTM Melaka. Sambutan yang diberikan oleh pelajar amat menggalakkan. Program ini juga telah mendapat liputan media yang meluas seperti dari Berita Harian, Utusan, New Straits Times, Harian Metro dan juga Sun Chew Jit Poh. Menurut beliau lagi “Ini adalah program kali kelapan yang dianjurkan oleh Petron pada tahun ini dan program yang dilaksanakan bersama UiTM Melaka merupakan yang terbaik dan sebagai penutup bagi tahun ini”.