UiTM CM WALL

Collection of our news and event

ALOR GAJAH, 7 Disember 2016 : Bahagian Penyelidikan Industri dan Alumni (PJI&A) UiTM Melaka telah menganjurkan pertandingan Melaka International Intellectual Exposition atau lebih dikenali sebagai MIIEX 2016 bertempat di Dewan Tamaing Sari UiTM Alor Gajah, Melaka. Majlis pembukaan MIIEx 2016 telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Mohd Padzil bin Hashim, Pengarah Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Melalui program ini, sebanyak lebih 230 penyertaan telah dipertandingkan. Melalui tema “Ke Arah Pengkomersilan Penyelidikan, Ciptaan, Inovasi dan Rekabentuk, MIIEx 2016 telah membuka peluang kepada pada akademi IPT dalam dan luar, pensyarah, staf dan pelajar untuk mempamer produk atau prototaip serta idea-idea baru yang mempunyai nilai dan potensi untuk dikomersilkan.

Menurut Timbalan Rektor PJI, Prof Madya Dr Shafinar Ismail, “MIIEx 2016 yang diadakan selama dua hari ini merupakan satu galakan untuk aktiviti penciptaan selain menjadi platfom untuk mengenalpasti produk ciptaan dan inovasi yang boleh dipatenkan serta dikomersilkan”. Menurut beliau lagi “ MIIEx 2016 merupakan salah satu strategi meningkatkan budaya inovasi melalui penyelidikan dan memupuk minat organisasi kerajaan dan bukan kerajaan untuk mendapatkan khidmat rundingan dan kepakaran daripada IPT dan UiTM Melaka”.

MIIEx 2016 turut mendapat kerjasama pelbagai agensi dari segi penajaan mahupun sebagai rakan penganjur. Program ini merupakan lanjutan daripada pertandingan inovasi melalui penyelidikan, ciptaan, inovasi dan rekabentuk yang diadakan setiap tahun oleh bahagian PJI&A UiTM Melaka sejak tahun 2009.