UiTM CM WALL

Collection of our news and event

ALOR GAJAH, 24 Mei 2017: Rektor UiTM Cawangan Melaka Prof Madya Sabariah Mahat telah merasmikan Majlis Penutup Minggu Destini Siswa Sesi Jun 2017 - Oktober 2017 di Dewan Taming Sari, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah. Majlis dimulakan dengan bacaan doa, bacaan ayat suci Al-Quran, bacaan ikrar pelajar daripada 1588 orang pelajar, ucapan Naib Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar dan seterusnya Amanat Rektor dan Perasmian Penutup MDS UiTM Melaka.

Dalam ucapan Rektor, beliau mahu kesemua pelajar memanggilnya sebagai 'Ummi Rektor' dan menganggap bahawa kemasukan pelajar pada tahun ini sebagai anak sulung beliau sejak beliau dilantik menjadi Rektor bermula pada 1 Mac yang lalu. Rektor mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baru dan telah memberikan beberapa pesanan kepada pelajar. Antara pesanan beliau ialah, beliau mahukan semua pelajar menggunakan peluang sebaiknya dan fokus kepada belajar.

Menurut beliau lagi, pensyarah perlu mendalami watak pelajar yang merupakan dari generasi-Z. Beliau mengharapkan agar semua pelajar dapat tamat dengan jayanya mengikut tempoh yang ditetapkan (GOT) dan jangan melupakan ibubapa setelah berjaya kelak.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Dr Rani Diana Othman Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, En Norazman Harun, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr Ismadi Badarudin Ismadi MB yang merupakan Penolong Rektor UiTM Kampus Bandaraya Melaka serta beberapa Ketua Pusat Pengajian dan Koordinator Fakulti.