ALOR GAJAH, 15 Mei 2018 - Telah berlangsung sebuah program The A.R.T of Batik 2018 yang bertempat di Dewan Bendahara UiTM Kampus Alor Gajah.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Yang Berusaha Cik Saraya Binti Arbi. Turut hadir bersama, Pengarah Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Negeri Melaka, En Jefri Munir, Bahagian Promosi Pelancongan, Pn Norena Jaafar, Jabatan Kesenian & Warisan Negeri Melaka dan wakil wakil dari industri pelancongan yang lain..
Objektif program ini ialah untuk memberi impak yang besar dalam mengekalkan tradisi budaya kesenian pemakaian batik di kalangan masyarakat di Malaysia. Para pengunjung telah didedahkan dengan pengetahuan umum serta kemahiran asas tentang kesenian budaya batik yang diterjemahkan melalui beberapa aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan. Beberapa pengisian aktiviti telah diaturkan mengikut kesesuaian pengunjung yang hadir ke program ini. Antaranya ialah aktiviti pameran batik, mencanting batik dan mewarna motif batik. Terdapat juga aktiviti pemperagakan pakaian bermotifkan corak batik yg melibatkan mahasiswa dan mahasiswi FPHP dalam mempamerkan cara pemakaian batik yang bersesuian dikenakan dalam pelbagai majlis.
Tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas,seni batik bukanlah sesuatu yang asing di kalangan masyarakat tempatan mahupun luar negara. Justeru, program ini diharapkan dapat memartabatkan pemakaian batik dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya dikalangan pelajar zaman kini. Program ini adalah berkat usaha dan semangat pelajar Pengurusan Hotel dan Pelancongan dan juga penasihat projek iaitu Puan Asliza binti Mohd Yusof bersama penolong penasihat projek Puan Nooribtisam binti Abdul Karim. Sekalung penghargaan juga ditujukan kepada Rektor UiTM Melaka, Datuk Prof Madya Sabariah Hj Mahat atas sokongan dan kelulusan terhadap penganjuran program ini.