Dato’ Dr Hassan Said. Lawatan Naib Canselor ke UiTM Melaka adalah merupakan lawatan pertama semenjak beliau menjadi Naib Canselor pada awal tahun yang lalu. Profesor Emeritus Dato' Dr Hassan Said dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ke-9 menggantikan Tan Sri Prof Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkuatkuasa pada 1 Februari 2016. Lawatan bermula dari UiTM Kampus Alor Gajah dan seterusnya ke UiTM Kampus Bandaraya. Matlamat program ini bertujuan untuk merapatkan perhubungan serta beramah mesra di antara warga UiTM bersama Naib Canselor. Di samping itu, program ini telah memberikan impak yang tinggi terhadap warga UiTM Melaka apabila dapat bersua muka bersama pemimpin tertinggi UiTM.
Sesi lawatan dimulakan dengan sesi taklimat kampus oleh Rektor UiTM Melaka iaitu Prof. Madya Dr Mohd Adnan Hashim di Bilik Mesyuarat Utama KPP1. Majlis diteruskan dengan lawatan tapak Hotel UiTM dan ‘Campus Tour’ di sekitar Kampus Alor Gajah. Majlis diteruskan dengan Majlis Ramah Mesra dengan warga staf UiTM. Prof Hassan Said turut disambut dengan perbarisan tabik hormat dan tarian Selamat Datang di Dewan Taming Sari. Antara intipati dalam ucapan beliau, beliau mahukan warga UiTM mempunyai motivasi yang tinggi dan gembira dengan pekerjaan yang dilakukan. Beliau juga memahukan agar proses kenaikan pangkat dan proses pembangunan kompetensi kakitangan perlu dipermudahkan dengan mengikut garis panduan yang jelas dan penilaian mengikut laluan yang sesuai seperti melalui laluan pentadbiran, pengajaran, penyelidikan dan kepimpinan. Beliau juga menyarankan agar budaya ‘Little Napoleon’ dalam kampus perlu dihapuskan.
Profesor Hassan turut melancarkan buku Direktori Rundingan di hujung program di Dewan Taming Sari. Di sebelah petang, beliau dibawa untuk melawat Kampus Bandaraya Melaka untuk makan tengahari dan perjumpaan bersama pemimpin pelajar. Pelbagai soalan diajukan oleh mahasiswa dan beliau turut berkongsi pengalaman beliau kepada mahasiswa terbabit. Secara keseluruhannya, Rektor UiTM Melaka iaitu Dr Mohd Adnan Hashim berpuashati dengan persediaan yang dilakukan oleh warga UiTM Melaka. Menurut beliau, Naib Canselor juga berasa gembira dan teruja dengan sambutan yang diberikan. UiTM Melaka juga merupakan antara kampus yang terbaik yang pernah beliau lawati.