JASIN, 31 Mac 2017: Seramai 24 mahasiswi UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin dan 24 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat, Merlimau dipertemukan bagi satu Program Mentor Mentee; Surat Untuk Adik. Program kali pertama ini telah dianjurkan oleh Fakulti Sains Komputer & Matematik bertujuan membantu meningkatkan pencapaian para pelajar tahun enam dalam peperiksaan UPSR akan datang Program ini berkonsepkan adik angkat & kakak angkat di mana setiap pelajar tahun 6 akan di berikan seorang kakak angkat dari kalangan mahasiswi UiTM untuk membimbing mereka dalam bidang pelajaran.
Program ini memfokuskan kepada peningkatan kemahiran berbahasa inggeris melalui pendekatan rakan pena atau “pen-pals”. Adik-adik angkat dan kakak-kakak angkat akan berutus surat pada setiap minggu menggunakan Bahasa inggeris sebagai medium komunikasi. Melalui pendekatan ini kami berharap kosa kata atau vocabulary murid-murid dapat ditingkatkan dalam masa sama melatih mereka lebih berani untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.
Biarpun fokus program ini adalah untuk meningkatan kebolehan berbahasa inggeris dikalangan murid, kakak angkat yang dilantik turut bersedia membantu adik-adik angkat masing-masing bagi mata pelajaran lain sekiranya perlu. Adik-adik angkat boleh berkongsi masalah dalam mata pelajaran lain dengan kakak angkat masing-masing untuk meningkatkan prestasi mereka dalam mata pelajaran tersebut. Melalui cara ini diharap ia akan membantu meningkatkan pencapaian sekolah bagi mata pelajaran yang lain.
Program ini akan dijalankan secara berterusan dari Mac hingga Ogos kelak. Penyerahan kakak angkat telah disempurnakan oleh Pn. Hajah Alissa Bt. Md Yasin, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat dan Pn. Nurazian Bt. Mior Dahalan, Koordinator Program Fakuti Sains Komputer & Matematik UiTM Cawagan Melaka Kampus Jasin.